8 Petua Supaya Rendang Tahan Lama, Tak Cepat Basi!

“Aik, baru masak malam tadi, tapi tengah hari ni dah nak berbau masam? Membazir je kena buang. Dahlah aku masak banyak. Aduhai… Macam mana nak buat rendang tahan lama?”

Menjelangnya Hari Lebaran, hampir setiap rumah akan menyediakan rendang. Dah nama pun Raya, tak sahlah kalau tak ada rendang, kan?

Tapi malangnya kadangkala rendang yang kita masak cepat betul basi walaupun dah dihangatkan berulangkali. Sedangkan ada sesetengah orang masak rendang tetap elok berhari-hari walaupun tak dipanaskan.

Apa rahsia buat rendang tahan lama? Jom kita tengok beberapa tips dan petua di bawah.

8 PETUA SUPAYA RENDANG TAHAN LAMA, TAK CEPAT BASI!

1. PILIH SANTAN YANG BERKUALITI

Antara makanan yang paling cepat basi adalah makanan bersantan. Maka, kunci yang sangat penting adalah pada santan.

Kalau pilih santan yang segar dan berkualiti, rasa rendang pun lebih lazat selain mampu bertahan lebih lama.

petua kurang masin dalam masakan

2. TUNGGU PERIUK SEJUK BARU TUTUP

Selepas selesai memasak, jangan tutup rapat periuk yang berisi rendang tadi. Sebabnya, wap air akan terkumpul dan akan jatuh semula ke dalam rendang. Ini boleh menyebabkan rendang cepat basi. Sama juga dengan lauk dan makanan lain.

Jadi, kalau nak tutup masa masih panas, biarkan ada sedikit bukaan (tak payah tutup rapat). Atau, tunggu hingga agak sejuk barulah periuk ditutup.

Foto Kredit: masterfile.com

3. BIAR BETUL-BETUL PECAH MINYAK

Semasa menumis, pastikan bahan-bahan dah betul-betul garing dan pecah minyak. Pecah minyak ni tandanya warna tumisan menjadi sedikit gelap atau minyak tumisan akan terpercik sedikit daripada kuali.

Selepas ada tanda begini, barulah masukkan ayam atau daging.

4. MASAK SAMPAI RENDANG KERING

Salah satu cara untuk elakkan rendang cepat basi adalah dengan memasaknya hingga kering.

Dengan cara ini, kandungan air dalam masakan akan dinyahkan dan ia dapat bertahan lebih lama. Daging pun akan jadi lembut!

rendang tahan lama

Foto Kredit: rendang tok

5. KURANGKAN SANTAN

Sebenarnya tak semua resepi rendang menggunakan santan. Yang tak pakai santan tetap akan ada rasa lemak sebab dah guna kerisik.

Kalau tetap nak guna santan, kurangkan sedikit kuantitinya kalau nak ia bertahan lebih lama.

6. GORENG AYAM / DAGING SEPARUH MASAK

Sebelum masak rendang,  gorengkan dulu ayam hingga separuh masak atau masak ayam / daging atas api tanpa minyak atau air. Boleh juga gaulkan dengan rempah-rempah dan bakar seperti ayam percik. Proses ini adalah untuk keringkan air daging atau ayam.

Jadi bila air ayam / daging tu kering, barulah rendang lambat basi.

Foto Kredit: steemit.com

7. PASTIKAN PERKAKAS KERING

Masa nak simpan rendang dalam bekas, pastikan bekas telah dilap kering. Masa nak menceduk pun, kena pastikan juga sudip, sudu, atau senduknya kering.

Sebelum memasak atau panaskan atas periuk / kuali pun, keringkan dulu atas api supaya rendang yang dimasak tahan lama.

petua rendang tahan lama

Foto Kredit: malaysia.travel.en

8. SEJUKBEKU & ASINGKAN

Bila nak simpan, asingkan kepada beberapa bekas-bekas kecil. Jangan simpan dalam satu bekas besar. Ini dapat mengelakkan rendang itu daripada asyik keluar masuk peti sejuk dan dipanaskan.

Bila asingkan ikut portion kecil-kecil, bila nak makan atau hidang, kita akan keluarkan 1-2 bekas saja dari peti sejuk untuk dipanaskan dan yang lain tak akan bersentuh.

SELAMAT MENCUBA!

Mudah-mudahan dengan beberapa petua yang dikongsikan di atas, rendang yang anda sediakan di rumah dapat bertahan lebih lama. Yalah, Hari Raya nanti ada juga tetamu yang datang mengejut.

Kalau ada stok rendang yang dah dimasak, senang nak makan pada bila-bila masa, kan?

sumber: siraplimau

Leave a Reply