Anwar Ibrahim Memberi Amaran Kepada Kerajaan PH Sekiranya Berlaku Penyelewengan Dalam Pentadbiran Ahli Kabinet Kerajaan Kini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada ahli Kabinet sekiranya terhadap penyelewengan dan salah guna kuasa, beliau sendiri akan menentang individu terbabit secara terang-terangan.

Malah bakal perdana menteri itu menegaskan, beliau akan bertindak bersama pembangkang sekiranya kerajaan Pakatan Harapan cuai mengurus tadbir negara.

“Sekarang saya hendak ingatkan menteri-menteri, giliran pembangkang membaca laporan audit dan mereka serang kita kalau kita cuai.

“Saya akan masuk Parlimen dalam tempoh singkat ini kalau menang, kalau serangan pembangkang itu tepat, dan ada kerosakan penyelewengan dan kecuaian pada menteri saya akan bersama dengan pembangkang untuk turut menyerang.

“Bahan (bukti) akan saya terima daripada Tan Sri Abu Kassim (Mohamed),” katanya dalam ucapan penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Abu Kasssim turut hadir pada kongres tersebut sebagai salah seorang panel.

Tegas Presiden PKR itu, beliau tidak mahu salah guna kuasa terpalit kepada kerajaan PH yang akan dipimpin beliau suatu masa kelak.

“Ini adalah satu dasar konsisten, kita tidak mahu salah guna kuasa tapi kena ada sistem pemantauan yang lebih telus. Ini sebahagian besar boleh dielakkan.

“Saya percaya Ketua Audit Negara (Tan Sri Madinah Mohamad) sudah ada laporan ini yang baik jadi ketua pembangkang, kita teliti laporan ketua audit untuk guna sebagai senjata untuk perang dengan kerajaan,” katanya lagi.

– MalaysiaGazette

Amaran Anwar kepada Kabinet Pakatan Harapan

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menolak kemungkinan untuk bersama pembangkang seandainya menteri sedia ada hari ini melakukan penyelewengan dalam pentadbiran dilihat sebagai amaran keras buat semua pemimpin ketika ini.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kenyataan berkenaan bersifat peringatan dan pencegahan.

Katanya, tindakan tersebut membuktikan komitmen Anwar untuk memerangi penyalahgunaan kuasa yang mungkin akan mengetuai kerajaan di masa akan datang.

“Ini amaran keras beliau dan dalam konteks ini saya rasa beliau cuba nak pastikan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan mestilah kerajaan yang telus, bertanggungjawab dalam melaksanakan pentadbiran secara adil serta mengelak perkara yang tak sihat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Jelas Mohd Azizuddin, kenyataan berkenaan tidaklah membawa makna Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai pembangkang.

“Biarpun Anwar belum pegang apa-apa portfolio atau sebagai ahli parlimen, beliau ada hak untuk bersuara sekiranya berlaku penyelewengan sebagaimana yang berlaku dalam era Barisan Nasional.

“Mungkin bukan untuk sertai pembangkang, tetapi bersama-sama menyuarakan pandangan mengkritik kepimpinan yang menyeleweng.

“Dalam konteks ni, ada kewajaran beliau sebagai pemimpin utama negara untuk bertindak sedemikian untuk elakkan daripada unsur-unsur yang tidak sihat dalam kerajaan,” jelasnya.

Anwar sebelum ini memberitahu telah menyenarai pendek tiga kerusi Parlimen untuk bertanding dalam masa terdekat.

Sumber: Astro awani

 

Leave a Reply