Ayah meninggal semasa menunaikan ibadah haji di Mekah.Tapi masa malam tahlil aku ternampak sesuatu yang tidak di sangka sangka.

Belasan tahun dahulu, emak dan arwah ayah aku berkesempatan untuk mengerjakan ibadah haji bersama. Bukan main gembira lagi emak aku. Yela hajatnya untuk menunaikan ibadah haji bersama suami tercinta akhirnya kesampaian. Sebulan sebelum berangkat lagi emak aku sudah siap-siap mengemas barang untuk ke sana nanti. Takut terlupa katanya. Manakala ayah aku pula sibuk dengan urusan dan segala dokumen yang perlu diselesaikan untuk ke sana. Sibuk betul ayah aku. Macam pelik pulak perangai ayah kali ni. Selalu ada jer masa nak berborak dan makan bersama. Tapi aku dapat rasakan kelainan pada ayah. Tapi aku biarkan je.

Bulan Januari pun tiba. Sudah sampai masanya emak dan ayahku berangkat ke Tanah Suci. Penerbangan mereka dijadualkan pada waktu malam. Azan pun dilaungkan diluar rumah kami oleh imam masjid sebelum emak dan ayah menaiki kereta. Aku dapat lihat dari raut wajah ayah kelihatan sedih bercampur hiba umpama hati dia berat sangat untuk tinggalkan kami adik beradik. Sesekali dia mengesat air mata dia. Tapi apakan daya. Rukun Islam kelima harus ditunaikannya. Berjujuran jugalah air mata kami anak beranak setelah selesai azan dilaungkan. Entah kenapa tetiba hati aku rasa berat sangat untuk melepaskan mereka pergi. But still aku kena kuat. Taknak tunjukkan rasa sedih aku depan mereka.

Sampai saja di perkarangan Kelana Jaya, semua ahli keluarga dan sanak saudara berkumpul untuk melihat bakal jemaah haji berangkat. Panggilan dibuat meminta semua bakal jemaah haji untuk berkumpul di dalam dewan bagi sesi taklimat. Maka kami pun bersalam-salaman dengan emak dan ayah. Sedih tu jangan cakaplah. Kalau boleh rasa taknak bagi emak dan ayah pergi. Yela lama tu 40 hari mereka disana. Tentulah akan rasa rindu nanti. Sebelum masuk ke dalam dewan, ayah sempat berpatah balik dan terus melambai ke arah kami adik beradik. Lambaian itu umpama lambaian terakhirnya untuk kami adik beradik. Aku nampak ayah kesat air matanya lalu masuk kembali ke dalam dewan.

Long story short. Lagi 2 minggu lagi emak dan ayah akan balik Malaysia. Aku rasa gembira sangat masa tu. Macam-macam aku nak masak bila emak ayah balik nanti. Raya haji tahun tu terasa kurang meriah tanpa emak dan ayah disisi. Kami menyambutnya ala kadar saja adik beradik. Nak dijadikan cerita, dua hari selepas raya haji ketika tu waktu awal pagi, aku sedang membasuh pinggan mangkuk. Tiba-tiba gelas kaca yang aku nak basuh tu terlepas dan jatuh ke dalam sinki lalu pecah. Agak pelik sebab selalunya kalau jatuh dalam sinki pon takdela sampai pecah. Hati aku dah rasa tak sedap masa tu. Lepas je aku kutip semua serpihan kaca tu, telefon rumah pon berdering. Siapa pulak yang telefon pepagi ni?

Saat aku menjawab pangilan telefon tu aku dah hampir nak meraung. Luluh hati aku masa tu hanya Allah yang tahu. Panggilan yang aku terima adalah dari pihak tabung haji di Mekah memaklumkan yang ayah aku telah rebah akibat serangan sakit jantung lalu meninggal dunia ketika sedang dalam perjalanan untuk Wukuf di Arafah. Ayah aku juga telah dikebumikan terus di sana pada hari yang sama. Kami pula dimaklumkan 2 hari selepas pengebumian arwah ayah. Sedih sangat! Sedih sebab tidak dapat menatap and mencium wajah arwah ayah buat kali terakhir.

Suasana hiba ketika kami adik beradik menjemput emak di KLIA. Hanya tangisan kesedihan kami kedengaran ketika menyambut emak. Kami semua peluk emak. Ternyata emak masih terkejut dengan pemergian ayah. Tapi emak redha. Lagipun bukan calang-calang umat yang boleh meninggal disana. Tapi jauh disudut hati, aku tau emaklah yang paling sedih melihat suami sendiri meninggal dunia di depan matanya sendiri. Di negara orang pulak tu tanpa ada anak-anak disisi.

Sehari selepas emak balik, kami adik beradik sepakat untuk membuat kenduri tahlil untuk arwah ayah selepas solat Isyak. Saudara mara yang datang banyak membantu memandangkan keadaan emak masa tu masih dalam kesedihan. Sedang kami bertahlil tu, secara tak sengaja aku terpandang ke arah pintu utama rumah. Keadaan agak gelap kat luar rumah tapi aku boleh lihat dengan jelas akan ape yang berada di depan pintu utama tu. Banyak kali aku tengok sambil gosok mata. Nak tau ape yang aku nampak? Aku ternampak kelibat arwah ayahku sedang berdiri di pintu utama sedang melihat para tetamu yang datang dan ketika itu arwah ayah aku sedang memakai ihram. Bersihnya muka ayah. Kemasnya ihram yang dia pakai. Dia seolah-olah tau aku sedang melihatnya terus dia tersenyum dan berlalu pergi. Dalam keadaan percaya atau tak aku tak pasti. Betul ke ayah tu?? Ayah balik ke?? Then baru aku tersedar yang ayah dah takde.

Tapi aku tak bagitau sesiapa pon hal itu terutama emak. Takut emak lagi sedih. Keesokan harinya semasa sarapan pagi emak pon cerita “malam tadi emak mimpi ayah…tapi ayah diam jer…muka dia tersenyum jer emak tengok…dia tengok jer kita semua semalam masa kenduri tahlil tu…cara dia macam nak ucapkan terima kasih sangat sebab buat kenduri tahlil tu untuk dia”. tersedu-sedu emak bercerita. Aku pun ceritala dekat emak ape yang aku nampak malam tadi. Terkejut emak. Emak kata semasa ayah meninggal kat Arafah hari tu memang ayah sedang memakai ihram. Dan dia dikebumikan sekali dengan ihram dia. Ternyata ada kaitan ape yang aku nampak malam tadi dengan mimpi emak tu.

Walaupun arwah ayah dan meninggal belasan tahun dahulu, kenangan tu masih segar dalam ingatan aku. Semoga roh arwah ayah dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin!
Sedekahkanlah al-fatihah buat insan tersayang terutama ibu dan ayah kita yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Terima kasih kerana sudi baca coretan ini. Assalamualaikum.

Nota: Wallahualam,tetapi tiada yang mustahil bagi Allah

Sumber:mediahijrah via kenabaca.com

Leave a Reply