Doa bekas pengarah SPRM termakbul: Dr M menang

Mantan pengarah operasi siasatan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Bahri Mohd Zin, yang kakitangannya telah memulakan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB yang sarat dengan skandal berkata doa beliau akhirnya termakbul dengan kemenangan gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Awal pagi ini, beliau mengucapkan tahniah kepada Mahathir dan pasukan Anwar atas kemenangan pilihan raya yang menumbangkan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bahri juga mengucapkan tahniah kepada 30 juta rakyat Malaysia kerana berani membuat perubahan.

“Slogan (saya) kamu ada kuasa, aku ada Allah insyallah termakbul sudah, inilah doa saya pada sepertiga malam selama ini.

“Lobang cacing tak perlu ku intai lagi dan insyallah kita akan menonton kes-kes yang tak pernah terlintas di benak kita selama ni,” katanya kepada¬†Malaysiakini.

Bahagian siasatan khas SPRM yang diketuai Bahri dibentuk pada tahun 2010 untuk menyiasat kes-kes berprofil tinggi, terutama yang melibatkan rasuah lebih daripada RM1 juta.

SRC, anak syarikat 1MDB dan kini di bawah Kementerian Kewangan, berada di bawah pemerhatian pasukan Bahri selepas RM42 juta wangnya ditemui dalam akaun bank peribadi Najib. Najib ketika itu juga menerajui Kementerian Kewangan.

Manakala siasatan SPRM terhadap 1MDB cukup rumit dan melibatkan banyak bidang kuasa di luar negara. Peguam negara ketika itu enggan mengeluarkan bantuan daripada segi undang-undang kepada suruhanjaya itu untuk bekerjasama dengan penyiasat asing.

Kes SRC cukup jelas kerana melibatkan sebahagian besar entiti tempatan.

Wang SRC didakwa didepositkan ke dalam akaun Najib dalam dua urus niaga – pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 – selepas diarahkan melalui dua syarikat, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Najib dilaporkan mendakwa tidak sedar wang tersebut dari SRC.

Apabila polis di bawah IGP Tan SRi Khalid Abu Bakar menyiasat SPRM tiga tahun lalu dan menahan tiga pegawai penyiasat operasi khas suruhanjaya itu berhubung dakwaan kebocoran kertas siasatan 1MDB, Bahri cukup marah.

“Demi Allah. Saya akan cari dalang (yang mengarahkan) penangkapan ini sehingga ke lubang cacing.

“Kamu ada kuasa sedikit saja, tapi saya ada Allah,” katanya.

Khalid Abu Bakar telah menafikan polis campur tangan siasatan SPRM terhadap 1MDB.

Bahri kemudian ditukar ke Jabtan Perdana Menteri bersama pengarah komunikasi SPRM Rohaizad Yaakob (gambar). Namun kedua-duanya ditukarkan kembali ke SPRM selepas bantahan awam.

Pada akhirnya, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail telah membebaskan Najib daripada sebarang salah laku.

Malaysiakini juga pernah melaporkan selepas Apandi membersihkan Najib, Bahagian Operasi Khas SPRM didakwa dikecilkan kakitangannya dan enam pegawai yang terlibat menyiasat SRC ditukar keluar daripada bahagian itu.

Sumber: malaysiakini.com

Leave a Reply