Ini kata Kata Rafidah & Rais Kepada Tun Mahathir Selepas Kemenangan Pakatan Harapan!

Bekas menteri Umno yang dipecat daripada parti itu ketika kempen PRU14, Tan Sri Rafidah Aziz mengucapkan kesyukuran dengan kemenangan HARAPAN menawan Putrajaya.

“Syukur Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah yang telah memakbulkan doa kita semua.

“Hari baru telah bermula kepada rakyat dan Malaysia yang dicintai ini. Babak baru dalam sejarah kita sedang ditulis.

Rafidah bersyukur, Rais kata Dr M pecah rekod

“Rakyat telah memberikan kontrak baru untuk menguruskan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang kepada gabungan parti baru Pakatan Harapan,” kata mantan ketua wanita Umno itu dalam suatu hantaran terbaru di Facebook awal pagi ini.

Manakala seorang lagi veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim menyifatkan kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14 sebagai kehendak rakyat dan berkata Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad memecahkan rekod dunia sebagai perdana menteri paling berpengaruh meskipun berusia.

“Kehendak rakyat sudah berlaku.

“Kerajaan Pakatan Harapan muncul dengan Tun Dr Mahathir memecahkan rekod dunia sebagai PM paling berusia tapi paling berpengaruh, bijak dan istimewa,” kata Rais dalam ciapan Twitternya mengulas keputusan bersejarah pilihan raya umum ini.

SUMBER: Malaysiakini

Fakta PRU14: Apa erti kemenangan buat BN, HARAPAN dan PAS

Pakatan HARAPAN yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti WARISAN dijangka akan membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang diadakan 9 Mei, PKR memenangi 47 kerusi, DAP (42), BERSATU (13), AMANAH (11) dan WARISAN (lapan).

Secara keseluruhan gabungan itu memperoleh 121 kerusi parlimen, cukup untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Sekiranya anggota parlimen Batu P Prabakaran yang disokong PKR diambil kira, jumlah itu meningkat kepada 122 orang.

Selain itu terdapat tiga wakil bebas. Salah seorang adalah Anggota Parlimen Julau, Larry Sng, yang menang selepas HARAPAN memberi laluan kepadanya untuk menentang PRS secara langsung.

Selain itu adalah Ahli Parlimen Lubuk Antu Tambat @ Jugah Ak Muyang, yang membuat kemenangan mengejut apabila menewaskan calon PKR dan BN.

Gapari Katingan dari Parti Star, mungkin membentuk kerajaan campuran dengan HARAPAN dan WARISAN di Sabah apabila DUN di negeri itu tergantung.

Sekiranya ketiga-tiga wakil bebas ini bergabung dengan HARAPAN di peringkat persekutuan, maka jumlah gabungan itu mencecah 125 kerusi.

Apakah maksudnya bagi HARAPAN?

PKR muncul sebagai parti terbesar HARAPAN. Ini akan membolehkan gabungan itu melenyapkan dakwaan yang sering diulang oleh BN bahawa parti itu “dikuasai” oleh DAP.

Kemenangan besar PKR di kerusi parlimen sebahagian besarnya disebabkan oleh parti itu bertanding di kerusi campuran.

Gelombang kebangkitan Melayu serta sokongan Cina yang kuat membantu PKR menambah 17 kerusi parlimen berbanding pilihan raya umum yang lalu.

Walaupun BERSATU dan AMANAH turut menyumbang kepada tsunami Melayu, parti-parti itu lazimnya bertanding di kerusi yang mempunyai majoriti besar Melayu. Bagaimanapun, disebabkan kurangnya pengundi Cina yang bersikap anti-establishment dalam kawasan pilihan raya tersebut, mereka tidak boleh mengetepikan faktor PAS.

Apa ertinya bagi BN?

BN memenangi 79 kerusi parlimen pada PRU14. Di Semenanjung Malaysia, BN hampir tidak wujud selain Umno, yang memperolehi 47 kerusi.

MCA pula menyaksikan tujuh kerusi parlimen yang dimilikinya berkurang kepada satu kerusi. Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menjadi ahli Parlimen tunggal dari parti itu.

Sementara itu, kerusi parlimen MIC tinggal dua daripada empat kerusi manakala Gerakan tidak memperoleh sebarang kerusi.Dua kerusi MIC dimenangi Datuk M Saravanan di Tapah dan C Sivarraajh di Cameron Highlands.

Ketiga-tiga presiden parti komponen BN iaitu presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam, dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong tewas.

Kekalahan mereka mungkin menyaksikan tempoh pembaharuan dalam parti-parti komponen BN dan peralihan kuasa dalaman bagi oleh mereka yang terselamat dalam pilihan raya umum.

Di Sarawak, Umno tidak wujud dalam komponen BN yang diketuai PBB. Pecahan kerusi di Sarawak selepas PRU14 adalah PBB memperoleh 13 kerusi, SUPP 1, PRS 3 dan PDP 2.

Di Sabah, Umno mempunyai tujuh kerusi tetapi rakan-rakannya di sana juga lemah, dengan PBS, Upko dan PBRS semuanya hanya menang satu kerusi.

Dengan faktor BN yang lemah dan hanya bergantung kepada Umno, masih menjadi persoalan jika parti komponen Malaysia Timur akan kekal dalam gabungan itu.

Pembentukan sebuah gabungan baru Malaysia Timur tidak boleh diketepikan. Hasil keputusan PRU bakal menyaksikan penyusunan semula dan kemungkinan penggabungan parti.

Apakah maksudnya bagi PAS?

Dalam kempen PRU14, HARAPAN menggembar-gemburkan mengenai “Tsunami Melayu” sementara PAS pula “Tsunami Hijau”. HARAPAN dilihat menguasai pantai barat manakala PAS di pantai timur Semenanjung Malaysia.

BN kehilangan bilangan pengundi yang banyak kepada HARAPAN dan PAS. PAS kekal sebagai parti yang relevan, setelah memenangi 18 kerusi parlimen dan menjadi kingmaker di Perak di mana DUN di negeri itu tergantung.Sebelum pilihan raya umum, terdapat usaha antara PAS dan BN untuk membentuk kerajaan berasaskan Melayu.

Namun dalam PRU ini, walaupun BN dan PAS bergabung di peringkat persekutuan, mereka hanya mempunyai 97 kerusi, yang tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Dan walaupun BERSATU memutuskan untuk bergabung semula dengan Umno, yang telah memperolehi kuasa, ketiga-tiga parti itu hanya mempunyai 110 kerusi parlimen, kurang dua kerusi untuk membentuk majoriti mudah.

Selain itu, gabungan pelbagai etnik dan agama tidak akan diterima oleh parti-parti Malaysia Timur, yang boleh mengisytihar keluar dari BN.

Undi popular

Menurut data awal, tiada parti tunggal memperoleh lebih daripada separuh undi popular disebabkan oleh pertarungan pelbagai penjuru.

Pengiraan awal menunjukkan HARAPAN memenangi sekitar 45 peratus undi popular diikuti oleh BN dengan 32 peratus dan PAS sebanyak 16 peratus.Yang selebihnya dimenangi oleh parti-parti yang lebih kecil atau calon bebas.

SUMBER: Malaysiakini

Leave a Reply