Ini Perubahan Yang Berlaku Pada Anak Saya Selepas Dibawa Ke ‘Speech Therapy’

Kalau ada yang masih ingat dan mengikuti kisah Puan Norakma Jamlos, pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana sambungan kisah seterusnya tentang keadaan anak beliau, Humaira yang dikategorikan sebagai ‘late talker‘. Dalam artikel yang lepas, beliau menceritakan bagaimana beliau mengesan ciri-ciri tersebut pada Humaira pada usia 2 tahun serta tindakan awal yang diambilnya.

Kini setelah berusia 2 tahun 9 bulan, sekali lagi beliau berkongsi kisahnya dengan kami memandangkan ramai yang menghubungi beliau untuk mengetahui perkembangan Humaira seterusnya.

terapi pertuturan

Artikel lalu Puan Norakma Jamlos tentang anaknya Humaira

PENGALAMAN BAWA HUMAIRA BERJUMPA SPEECH THERAPIST

29/1/2018 – Temujanji dengan Pakar Pertuturan (Speech Therapist)

Pertama kali berjumpa Pakar Pertuturan, Pakar memberitahu kami bahawa Humaira

Mengalami keterlewatan perkembangan 1 setengah tahun berbanding umurnya sekarang.
Disarankan untuk menghantar Humaira ke taska atau tadika.

KENAPA PERLU HANTAR KE TASKA?

Pakar pertuturan memberitahu kami sebab yang sangat penting untuk hantar humaira ke Taska atau Tadika adalah kerana Humaira perlu bergaul dan berkawan.

Maka Umi dan Abah hantar Humaira ke taska atas saranan Pakar Pertuturan. Alhamdulillah kami berjumpa Taska yang boleh menerima kekurangan Humaira.

Humaira perlu ke taska dan dia kena belajar perkara berikut:

Kemahiran sosial interaksi – Masalah kemahiran berinteraksi adalah kesukaran mereka memulakan langkah untuk berkawan dan juga sukar untuk mereka memahami perasaan orang di sekeliling.
Kemahiran berkomunikasi – Masalah kesukaran mereka untuk berkomunikasi, bertutur, dan melakukan gerak isyarat.
Kemahiran imaginasi sosial – Masalah kesukaran mereka untuk berimaginasitentang sesuatu aktiviti yang pernah mereka lihat ataupun alami.

Humaira memerlukan bantuan dan rangsangan untuk membentuk ketiga-tiga kemahiran di atas ini. Ia dianggap salah satu terapi. Umi berharap sangat ada perubahan dengan humaira nanti. Insha Allah dengan izin Allah SWT.

“Termenung kejap bila anak saya ada buku ini.”

PERUBAHAN SELEPAS 2 BULAN DI TASKA

Kami hanya hantar Humaira ke taska separuh hari saja setiap hari Isnin hingga Jumaat. Kini dah masuk 2 bulan Humaira dihantar ke taska. Walaupun dia masih tidak bercakap, tapi sudah nampak sedikit perubahan. Dan walaupun sedikit, tapi ia sebenarnya amat besar bagi saya.

Antara perubahan yang Umi nampak:

Terus pandang apabila namanya di panggil. Panggil nama sambil tangan mengarahkan dia datang dia akan terus datang. Tidak perlu panggil berulang-ulang, kecuali kalau dia sedang khusyuk bermain memang dia tak akan menoleh.
Sudah faham arahan walapun sedikit dan lebih baik berbanding sebelum ini. Contohnya kalau suruh ikut apa yang kita buat dia akan ikut.
Tahu apa maksud yang saya sampaikan pada dia. Contohnya kalau saya cakap bye-bye dia akan terus datang kepada saya sebab dia takut kena tinggal. Barang yang dia pegang, kalau kita minta dia akan bagi.
Eye contact lebih baik daripada sebelum ini, dan mula boleh memberi sedikit tumpuan walapun terhad.
Alhamdulillah sekarang Humaira dah mula kenal siapa Umi, Abah dan Kakak. Dia mula mengenali orang-orang di sekelilingnya.
Bubbling dari aaaaa sekarang sudah ada bermacam-macam bunyi. Yang ini memang saya teruja bila dengar, kadang-kadang macam dia sebutkan perkataan tapi masih dia tak maksudkan apa yang disebut tadi.
Sangat suka dengan taman permainan. Dulu langsung tak hiraukan. Kalau bawa ke taman permainan dia hanya berlari tanpa tujuan, sekarang sudah tahu bermain.

Walaupun begitu, kami masih juga sedikit bimbang sebab cikgu di Taska cakap yang Humaira masih tidak mahu bermain dengan kanak-kanak lain. Tidak mahu ikut aktiviti di Taska. Arahan pun kadang-kadang boleh ikut, kadang-kadang tak boleh.

RENTETAN TEMUJANJI PAKAR SETERUSNYA

13/2/2018 – Berjumpa dengan Pakar di Jabatan Pasikiatri Dan Kesihatan Mental atau lebih di kenali sebagai Penawar 4 Mekar

Kami berbual secara santai dan bersoal jawab. Menurut Pakar, Humaira masih belum boleh didiagnos sebagai Autisme. Paling cepat hanya boleh disahkan ketika dia berumur 4 tahun.

Walapun Humaira masih belum disahkan Autisme, tapi Humaira perlu menjalini terapi yang telah disarankan oleh Pakar. Intervensi dari awal sangat penting.

28/3/2018 – Perjumpa dengan Pakar Kanak-kanak

Doktor memberitahu beliau akan cuba diagnosis Humaira seawal mungkin. Dari permerhatian beliau, Humaira buat masa ini diketegorikan sebagai Global Development Delay (GDD). Diagnosis sama ada ianya disahkan atau masih belum tidak penting.

Yang paling utama untuk disegerakan adalah mendapatkan rawatan dan cuba memahami sedalamnya bagaimana saya dapat membantu anak saya untuk mempersiapkan dirinya menempuhi cabaran dunia luar. Sekali lagi doktor menegaskan bahawa intervensi dari awal sangat penting.

“Saya mula perasan dia bukan macam kanak-kanak lain dan nampak sangat berbeza terutamanya sebab dia masih tak boleh bercakap walaupun sudah berusia 2 tahun.”

INTERVENSI AWAL SANGAT PENTING

Diharapkan dengan perkongsian ini, ibu bapa dapat mengambil tindakan secepat mungkin jika menyedari sebarang keterlewatan yang dialami oleh anak-anak. INTERVENSI AWAL SANGAT PENTING. Saya sentiasa berharap Humaira menjadi seperti kanak-kanak normal selepas menjalani terapi yang disarankan oleh doktor.

Tidak ada yang mustahil dengan izin Allah, jika sebaliknya saya dan suami sudah bersedia dan berlapang dada untuk menerima kekurangan dia. Saya anggap kekurangan itu satu kelebihan Humaira. Dan tidak perlu dipersoalkan kenapa begitu dan begini.

Kami antara insan yang terpilih oleh Nya. Semoga Allah mudahkan urusan saya dan urusan anda semua. Akhir kata maafkan saya sekiranya penulisan saya ini ada kekurangan dan tersalah info.

 

*Kisah perkongsian oleh Puan Norakma Jamlos ini disumbangkan dan diterbitkan dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung terus dengan beliau di SINI.

Sumber:siraplimau

Leave a Reply