Najib ucap tahniah kepada Tun M

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Najib menerusi akaun Twitternya berkata, beliau turut sanggup membantu peralihan kuasa yang lancar.

“Baru mengucap tahniah kepada Tun Mahathir di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri yang ke-7. Saya sanggup membantu peralihan kuasa yang lancar,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara, 9.56 malam tadi.

Dr Mahathir, 92, yang diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mencatat sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selepas memegang jawatan yang sama pada 16 Julai 1981.

Sultan Muhammad V sudah memberi perkenan selaras dengan Fasal (2) (a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:26 AM

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, sempat turun bertemu penyokongnya yang berkumpul di Kediaman Rasmi Menteri Besar, malam tadi.

Beliau mengambil kesempatan kira-kira 10 minit untuk bersalam dan mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang menyokongnya selama ini.

Difahamkan, beliau antara lain berkata, sudah melakukan yang terbaik untuk negeri ini, namun tidak mengapa jika pengundi tidak mahukannya terus mentadbir.

Suasana di kawasan itu suram dengan beberapa penyokong terutama wanita dilihat menangis.

Sementara itu, seorang pegawainya, berkata Mohamad tidak akan memberi sebarang kenyataan rasmi malam tadi dan dijangka berbuat demikian pagi hari ini.

Sumber:harian metro

Leave a Reply