‘ORANG MINYAK’ PUKAU DAN CABUL ANAK DARA KUBANG KERIAN

KUBANG KERIAN – Penduduk Kampung Pengkalan Demit, di sini gempar selepas seorang remaja perempuan dipercayai menjadi mangsa pertama serangan orang minyak yang berleluasa di kampung itu sejak sebulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Nik Anis Ashira Kamarulzaman, 17, sedang menjemur pakaian di belakang rumah sebelum dia diserang kelibat lelaki dipercayai orang minyak itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian II itu berkata, dia ditarik seseorang dari arah belakang dan dibawa ke ruang tamu rumah.

“Saya seolah-olah dipukau dan hanya tersedar selepas kelibat lelaki itu mencekik leher saya. Tangan, kaki dan bahagian perut saya diikat dengan tali.

“Jerutan yang kuat di bahagian perut membuatkan saya sesak nafas. Saya ketakutan, menangis dan menjerit meminta tolong sebelum suspek itu melarikan diri melalui tingkap dapur rumah,” katanya ketika ditemui selang sejam kejadian itu berlaku.

Mangsa ketika ditemui wartawan Kosmo! di rumahnya mendapati masih terdapat kesan minyak di leher dan kakinya selain mangsa berada dalam keadaan trauma.

Bapa mangsa, Kamarulzaman Mat Yunus, 44, berkata, rumahnya serta tiga lagi rumah jiran-jiran menjadi gangguan dipercayai orang minyak sejak sebulan lalu.

“Walaupun kami membuat rondaan, berjaga, mengepung orang minyak ini namun dia bagaikan hilang tanpa kesan. Kami melakukan sembahyang hajat namun orang minyak ini tetap mengganggu.

“Ada penduduk melihat kelibatnya namun usaha menangkapnya tidak berjaya,” katanya. – K! ONLINE

Sumber: astroawani via wowberita

Leave a Reply