PELUANG TERBAIK BERSIH NAMA SAYA, KATA NAJIB..NAJIB MENGAKU TIDAK BERSALAH ATAS SEMUA TUDUHAN

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kes pendakwaannya hari ini merupakan peluang terbaik buat dirinya untuk membersihkan namanya selepas didakwa ditohmah dan dituduh selama ini.

Bekas Perdana Menteri itu berharap proses keadilan buat dirinya akan dijalankan secara adil.

Bekas Presiden UMNO itu juga redha apabila menerima ‘harga’ yang perlu dibayar selepas berkhidmat selama 42 tahun kepada rakyat dan negara.

“Hari ini saya didakwa secara rasmi dan sesuatu yang saya tidak jangkakan serta ini kehendak kerajaan baharu.

“Kalau inilah harga yang saya terpaksa bayar, saya redha selepas 42 tahun berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Apa yang saya harapkan daripada kerajaan, proses keadilan adalah benar-benar adil mengikut rules of law.

“Saya yakin dan Insya-Allah ini adalah peluang terbaik untuk membersihkan nama secara tuntas selepas ditohmah dan dituduh begitu berat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dibebaskan apabila membayar wang jaminan RM500,000.

Turut hadir, peguam yang mengetuai barisan pembelaannya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Mengulas lanjut, Najib merakam ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa yang menjaga beliau sejak ditahan semalam dengan baik dan profesional. – MalaysiaGazette

NAJIB MENGAKU TIDAK BERSALAH SEMUA PERTUDUHAN, IKAT JAMIN RM1JUTA

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan meminta kes itu dibicarakan selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Soffian Abdul Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi itu menetapkan ikat jamin sebanyak RM1juta ke atas kesemua empat pertuduhan itu dengan dua orang penjamin, iaitu anak Najib sendiri iaitu Nooryana Najwa dan Ashman.

Mohd Soffian juga membenarkan permohonan peguam bela Najib, Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah untuk membayar wang jaminan secara ansuran dua kali, masing-masing RM500,000 pada hari ini dan bakinya sebelum jam 3 petang, pada 9 Julai ini.

Mahkamah juga mengarahkan Ahli Parlimen Pekan itu menyerahkan kedua-dua pasport diplomatik hari ini.

Hakim menetapkan 19 hari bagi pengurusan kes pertama melibatkan bekas Perdana Menteri itu iaitu pada 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019.

Hakim Mohd Soffian juga menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh permohonan Mohammad Shafee untuk arahan interim menghalang merit kes Najib dilapor dan dibincangkan secara terbuka oleh pihak media.

Terdahulu Mohammad Shafee meminta mahkamah mempertimbangkan agar wang jaminan dikurangkan daripada RM4 juta kepada RM500,000 hingga RM800,000 bagi keempat-empat pertuduhan.

Ia susulan permintaan ketua pendakwaraya, Tommy Thomas memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM1 juta ke atas Najib bagi setiap pertuduhan.

Najib merupakan satu-satunya bekas Perdana Menteri Malaysia yang dihadapkan ke mahkamah berhubung pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah. –

Sumber MalaysiaGazette via tvbulan

Leave a Reply