Perlantikan Richard Malanjum, Sebagai ketua Hakim Negara Yg Baru Merupakan Cabaran Besar Menanti Buat Umat Islam.

Perlantikan Richard Malanjum, cabaran besar menanti buat umat islam.

1). Pada tahun 2007, dalam kes permohonan Lina Joy untuk mnenukar agama asal dari islam ke kristian, tiga hakim yang terlibat dalam proses kehakiman kes tersebut.

Dua hakim (orang islam) tidak bersetuju untuk membenarkan Lina Joy murtad, manakala seorang hakim iaitu Richard Malanjum mengundi untuk membenarkan Lina Joy keluar islam.

Keputusan kes ini menjadikan amalan murtad di negara ini tertutup dari sudut sistem dan perundangan.
.

2). Pada tahun 2015, kes rayuan penggunaan kalimah Allah utk merujuk kepada Jesus oleh akhbar The Herald telah ditolak oleh keputusan majoriti hakim (4 berbalas 3)

Salah seorang daripada tiga orang hakim yang mengundi untuk membenarkan kalimah Allah merujuk kepada Jesus adalah Richard Malanjum.

Ini adalah satu langkah bagaimana sistem kehakiman boleh menutup ruang untuk berlaku mudarat besar kepada agama.
.

3). Pada awal tahun 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Antara hakim yang undi membatalkan penukaran agama tersebut adalah Richard Malanjum.
.

4). Kehakiman ini hakikatnya terletak pada hati para hakim. Bukan semata-mata teks dan fakta. Kerana hati yang ada pada hakim yang menafsir teks dan fakta.

Hakim yang diyakini keislamannya, hatinya akan cenderung kepada islam.

Hakim yang beriktikad dengan iktikad agama lain atau sekular akan cenderung kepada agama dan iktikadnya.
.

5). Risiko mengambil Ketua Hakim dari kalangan bukan Islam ini akan membuka kemungkinan tafsiran berbeza kepada perlembagaan tersebut.

Walaupun perlembagaan adalah mustahil diubah dalam keadaan politik semasa, tetapi tafsiran mahkamah bagi peruntukan perlembagaan berkenaan kedudukan Islam, Melayu dan Raja boleh memberi kesan besar terhadap kedudukan ketiga tiga perkara ini.

Contohnya, tafsiran TS Apandi Ali (ketika itu masih Hakim Mahkamah Persekutuan) berkenaan frasa perlembagaan “Islam adalah agama persekutuan tetapi agama agama lain bebas diamalkan” dalam isu kalimah Allah. TS Apandi memberikan tafsiran bahawa maksud kebebasan untuk mengamalkan agama lain itu akan menjadi terhad jika mengganggu agama Islam.

Judgement beliau ini dikritik keras oleh peguam-peguam luar. Antaranya Tommy Thomas (kini Peguam Negara)

(Point nombor 5 mengambil isi dari penulisan saudara Abd Rahim) https://www.facebook.com/abdulrahimhilmi.zakariya)
.

6). Teringat akan tulisan seorang pendakwah haraki terkenal, Muhammad Ahmad Ar-rasyid yang berkata tentang bagaimana sesebuah keruntuhan tamadun berlaku walaupun sesebuah negara itu telah maju. Sebuah soalan ditanyakan kepada Umar Al-Khattab:

“Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia kelihatan makmur maju?”

Beliau menjawab: “Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik.”

Inilah sebabnya keruntuhan negara dan inilah penyakit pembunuhnya.

Penguasaan si zalim ke atas golongan yang baik adalah sebab kepada segala kelam kabut dan rosaknya dunia.

Apabila si zalim atau fasik berkuasa, mereka akan melantik orang yang jahat dan fasik seperti mereka juga untuk mengurus apa-apa urusan. Mana-mana si fasiq tak dapat tidak adalah tawanan nafsu dan dah tertutup hatinya. Mereka hidup lalai dan tidak berfikir pun untuk kebaikan bangsa dan negara mereka.

Mereka juga bekerja untuk kepentingan peribadi mereka. Bertindak zalim, menindas dan menyeleweng. Banyak tenaga dan kemampuan kemanusiaan dipersia-siakan. Orang yang benar-benar layak dan berpotensi terpaksa bersembunyi mencari perlindungan kehormatan dan jasad mereka dari dicerobohi dan diseksa.

Tinggallah urusan pentadbiran umat dipegang oleh mereka yang jahil dan berkepentingan. Hasilnya tersebarlah gejala keruntuhan masyarakat yang akhirnya membawa kemusnahan ekonomi dan ketamadunan ilmu.

Masih ada yang kata tidak perlu risau?

Sumber: Nizzal Shafiq

Richard Malanjum Ketua Hakim Negara yang baru

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sah dilantik menjadi Ketua Hakim Negara yang baru malam ini.

Malanjum hadir majlis istiadat angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Ma’arop pula dinaikkan menjadi Presiden Mahkamah Rayuan. Kedua-duanya dikatakan dalam proses mengangkat sumpah dihadapan Sultan Muhammad V.

Hakim Tan Sri Zaharah Ibrahim akan menggantikan Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya. Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk David Wong Dak Wah menggantikan Malanjum sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang baru.

Hal ini berikutan Tun Md Raus Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang sepatutnya bersara pada 31 Julai tetapi telah diminta meninggalkan kedudukan mereka berkuatkuasa hari ini.

Sumber di Istana Keadilan Putrajaya memberitahu kedua-dua hakim berkenaan diminta mengemas barang-barang di pejabat mereka.

Hakim paling kanan

Pelantikan hakim berkenaan dibuat selepas Majlis Raja-raja bersidang hari ini. Di antara kesemua hakim di Mahkamah Persekutuan, Hakim Malanjum merupakan hakim paling kanan di mahkamah tertinggi negara.

Hakim Malanjum, lulusan Uitm yang menyelesaikan pengajian undang-undangnya pada tahun 1976.

Beliau kemudian meneruskan khidmatnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan peguam kanan di jabatan peguam negeri Sabah. Kemudian, beliau menyertai sektor swasta pada tahun 1981.

Pada tahun 1992, beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman dan dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 1993.

Pada tahun 2002, beliau dinaikkan ke Mahkamah Rayuan. Seterusnya, dalam usia 52 tahun, pada tahun 2005, beliau menjadi hakim Mahkamah Persekutuan yang paling muda.

Kadazandusun pertama

Pada 26 Julai 2006, Hakim Malanjum dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang keempat. Beliau anak jati komuniti Kadazandusun yang pertama dilantik ke jawatan itu.

Hakim Malanjum memainkan peranan penting ke arah pembentukan Mahkamah Anak Negeri.

Beliau juga merupakan Anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Malanjum akan mencapai usia 66 tahun pada Oktober 2018 ini dan boleh diberikan lanjutan selama enam bulan sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Wanita kedua jadi Hakim Besar Malaya

Presiden Mahkamah Rayuan yang baru,  Ahmad, 65 tahun pula berasal dari Melaka dan dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman pada 2000.

Beliau kemudian menjadi hakim Mahkamah Rayuan pada 2007 dan dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan pada 2011.

Ahmad dilantik menjadi Hakim Besar Malaya tahun lalu.

Manakala Zaharah, 65 tahun merupakan wanita kedua yang dilantik sebagai Hakim Besar Malaya selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 2004 dan dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada 2010 dan Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Wong pula berasal dari Sarawak dan dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2005.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 2013 dan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.

Sumber: malaysiakini

Leave a Reply