Terkini Kerajaan tetap pilih Tommy jadi peguam negara. PM Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri hari ini mengesahkan kerajaan tidak akan mengemukakan nama lain untuk mengisi jawatan peguam negara walaupun dilaporkan nama Tomy Thomas tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kata Tun Dr Mahathir Mohamad kerajaan percaya cadangan yang dikemukakan itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang negara.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak (melantik peguam negara) berdasarkan nasihat perdana menteri.

“Jadi kita berpegang kepada prinsip itu,” katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah petang ini.

Beliau juga memberitahu usaha sedang dijalankan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Justeru, kata Dr Mahathir “tidak ada manfaat” bagi beliau memberi penjelasan lanjut mengenainya.

Menggantikan peguam negara antara proses awal yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Penyandang sebelum ini – Tan Sri Mohamed Apandi Ali – menjadi satu daripada individu yang disasarkan dalam kempen HARAPAN menjelang pilihan raya umum lalu.

Apandi dianggap tidak sesuai meneruskan khidmatnya sebagai peguam negara ekoran pembabitan beliau secara langsung dalam siasatan skandal 1MDB.

Media melaporkan kerajaan mengemukakan nama Tommy bagi mengisi kekosongan jawatan peguam negara namun ia belum mendapat perkenan Agong.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa Tommy tidak sesuai menjadi peguam negara ekoran hubungannya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Dr Mahathir berkata peguam itu juga pernah menjalankan tugas bagi ramai orang.

“Peguam-peguam (biasanya) mengambil kes yang memberi pendapatan kepada mereka,” katanya.

Sumber: malaysiakini

kisah sebelum ini

Calon peguam negara tak dapat restu Agong

PETALING JAYA: Cadangan nama yang diberikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan peguam kanan, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara tidak mendapat restu Yang di-Pertuan Agong.

Pada dasarnya, Dr Mahathir berkeras mahu menggantikan Tan Sri Apandi Ali dengan hanya mencadangkan nama Thomas kepada Sultan Muhammad V.

Namun, Agong mahu lebih daripada satu nama dicadangkan, menurut sumber yang dekat dengan baginda.

“Agong mengemukakan empat nama kepada Dr Mahthir termasuk seorang bekas hakim mahkamah tinggi dan seorang hakim mahkamah rayuan.

“Agong mahukan seseorang yang telah menjadi hakim atau hakim bersara. Baginda tidak kisah sama peguam negara merupakan orang India, Cina atau pun Melayu,” kata sumber.

Sumber turut menegaskan Agong pernah mengesyorkan Thomas kepada kerajaan Kelantan untuk bertindak dalam kes terhadap Petronas.

“Agong mahukan seorang peguam negara yang dapat memberi nasihat kepada baginda mengenai perkara Syariah tetapi Dr Mahathir menegaskan Peguamcara boleh mengendalikan tugas tersebut.

“Namun Agong bertitah penguam negara merupakan pegawai tertinggi yang sepatutnya menasihati baginda,” kata sumber itu lagi.

Pihak Istana menolak dakwaan di blog yang membangkitkan isu itu sebagai ‘krisis perlembagaan’.

“Ia hanya perbezaan pendapat. Raja bertitah kepada Dr Mahathir bahawa jika beliau mahu seseorang untuk mendakwa kes 1MDB, beliau tidak patut melantik Thomas sebagai peguam negara.

“Thomas boleh dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya sebagaimana dilakukan terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee sebelum ini,” kata sumber itu.

Dua hari lalu, blogger terkenal Syed Akbar Ali dalam artikelnya di Malaysia Today berkata terdapat isu-isu serius yang timbul antara kerajaan dan ‘pihak lain’ mengenai pelantikan peguam negara.

“Terdapat khabar angin kuat bahawa Dr Mahathir telah melantik seorang calon sebagai peguam negara yang baharu,” katanya sambil menambah calon itu dikatakan bukan Islam, lelaki dan berbangsa India serta pakar perlembagaan persekutuan.

Syed Akhbar menafikan hakim bersara terkenal Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai calon bagi jawatan itu.

Beliau kemudiannya berkata pelantikan itu ditolak dengan alasan calon tersebut bukan orang Melayu atau tidak beragama Islam.

Syed Akhbar berkata peguam negara yang baharu itu akan ditawarkan kontrak selama dua tahun dengan memberi tumpuan penuh kepada pembaharuan institusi.

Pada Sabtu, portal berita Malaysia Insight melaporkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan ketegangan dengan Raja-Raja Melayu berhubung pelantikan itu.

Thomas tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan perkara itu.

Seorang hakim kanan yang telah bersara berkata perkara itu jauh lebih rumit berbanding dengan apa yang berlaku sekarang.

“Seorang calon untuk kedudukan peguam negara mestilah pernah menjadi hakim Mahkamah Persekutuan dengan pengalaman tidak kurang 15 tahun dalam amalan undang-undang,” katanya.

Sumber:mstar

 

Leave a Reply