Terkini!! (Video) ‘SkyCab’ Langkawi Rosak, 1,126 Pengguna Dan Kakitangan Yang Terkandas, Selamat Dibawa Turun

19 Feb – Semalam seramai 850 pengguna perkhidmatan SkyCab di Gunung Machinchang di Langkawi, terkandas dipercayai mengalami kerosakan teknikal, lapor Harian Metro semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, seramai 50 pengguna dilaporkan terperangkap di dalam gondola, manakala baki 800 orang terkandas di stesen pertama.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, seramai 16 anggota bersama tiga jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang.

“Berdasarkan maklumat awal, seramai 50 orang terperangkap dalam gondola dan lebih 800 orang terkandas di stesen pertama di gunung itu.

“Sejurus tiba anggota bomba membantu kakitangan SkyCab untuk membawa peralatan dan alat ganti ke stesen pertama bagi tujuan membaiki kerosakan,”
 katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Mustakim berkata, anggota bomba dan kakitangan SkyCab perlu mendaki gunung untuk sampai ke stesen pertama bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Memetik laporan terkini Harian Metro, 1,126 penumpang dan kakitangan perkhidmatan SkyCab yang terkandas di Gunung Machinchang di sini, sudah diselamatkan dan dibawa turun ke stesen kaki gunung pada jam 11 malam ini.

Syarikat pengendali SkyCab, Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi) memaklumkan operasi memulihkan perkhidmatan SkyCab sejauh 2.2 kilometer dengan puncak tertinggi 708 meter dari aras laut mengambil masa kira-kira lima jam.

“Operasi SkyCab tergendala ekoran gangguan dalam sistem pengendalian yang berlaku pada jam 5.48 petang.

“Ketika kejadian seramai 88 penumpang terkandas dalam 16 buah gondola dan berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 9.50 malam,” kata Panorama Langkawi dalam satu kenyataan di Langkawi, malam ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kakitangan Panorama Langkawi telah berusaha dan berjaya menjalankan kerja-kerja pembaikan sistem pengendalian kereta kabel yang rosak.

“Semua penumpang dan kakitangan yang terkandas akhirnya berjaya dibawa turun mulai pukul 11.00 malam.

“Selain penumpang yang terperangkap dalam gondola, turut terkandas adalah 210 penumpang dan 36 kakitangan di stesen tengah, manakala 750 penumpang dan 42 kakitangan di stesen tertinggi,” katanya.

Tambah kenyataan itu, operasi SkyCab pada hari ini (19 Februari) akan bermula mulai jam 12 tengah hari bagi memberi ruang kakitangan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Sumber:Siakapkeli.my

Leave a Reply