Tinggal kenangan, Air mata Azmin Ali, diiringi sendu Tengku Permaisuri

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin tidak mampu menahan sebak ketika Mohamed Azmin berucap buat kali terakhir sebagai Menteri Besar Selangor. – Pejabat Menteri Besar Selangor

GOMBAK: Rakyat Selangor tidak perlu khuatir tentang siapa bakal mengganti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor, kerana keadaan tadbir urus negeri ini dalam keadaan paling baik.

Ucapan beliau pada Sabtu jelas membuktikan bahawa cintanya terhadap negeri itu tiada tolok bandingnya dan beliau sudah pasti tiada galang gantinya.

Keikhlasan mentadbir dan menyayangi negeri itu dizahirkan beliau dalam ucapannya.

“Patik bersyukur diberikan peluang untuk menabur jasa dan bakti kepada rakyat di bawah payung kebesaran Tuanku. Namun, setiap yang baharu, pasti ada akhirnya. Setiap yang bermula ada penamatnya. Itulah lumrah alam dan hukum di kehidupan maya pada ini.

“Sepanjang hayat patik, belum pernah patik berdepan dengan dugaan seberat ini untuk membuat pilihan. Selangor adalah hati dan nurani patik, negara pula adalah jiwa dan sanubari patik,” katanya sebak.

Begitu ucapan Mohamed Azmin buat kali terakhir sebagai Menteri Besar Selangor di Majlis Iftar dan Tarawikh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama rakyat di Masjid Gombak Utara hari ini.

Ucapan beliau turut menyentuh perasaan Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang turut menitiskan air mata.

Mungkinkah akan ada cinta kasih kepada Selangor sedalam ini buat pengganti Mohamed Azmin?

MB Selangor: Lebih satu nama calon dicadangkan – Azmin

MB Selangor: Lebih satu nama calon dicadangkan - Azmin
Mohamed Azmin menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 250 penerima di Masjid Jamiul Huda, Ampang. -Sinar Harian

AMPANG: Senarai nama akhir calon Menteri Besar Selangor baharu selesai diteliti untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sebelum itu pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pimpinan parti dan memaklumkan secara terus kepada pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) Selangor berhubung senarai nama berkenaan.

“Malam tadi (semalam), saya turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Umum PKR,  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai senarai nama tersebut.

“Kita dah kenal pasti beberapa nama dan meneliti sehabis baik untuk dipersembahkan kesemua nama calon itu kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di kawasan Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa di Masjid Jamiul Huda, di sini, hari ini.

Ketika mengulas mengenai jumlah senarai nama calon yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, ADUN Bukit Antarabangsa itu bagaimanapun enggan mendedahkannya.

“Kita dah ada beberapa nama… Yang pastinya, lebih dari satu,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung kemampuan Adun Sungai Tua, Amirudin Shari yang dikatakan calon terdekat bakal menggantikan beliau sebagai menteri besar, Mohamed Azmin hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, antara nama lain yang turut disebut-sebut bakal pengganti menteri besar Selangor adalah ADUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei dan juga ADUN Seri Setia, Shaharuddin Badaruddin

Sumber : astroawani via citemalaya

Leave a Reply