[VIDEO] TERKINI! Dr M akhirnya jawab teguran TMJ, Memang PADU!

PRU14 | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir hari ini mengakui kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengkritiknya dan gesaan agar mengekalkan Umno akan memberi kesan kepada pembangkang.

Bagaimanapun beliau memaklumkan kesan tersebut bukanlah seperti yang dijangka.

“Akan beri kesan,” katanya ringkas. selepas berhenti seketika, beliau menyambung: “Ia beri kesan untuk jadikan HARAPAN lebih popular.”

Dalam satu kenyataan panjang di Facebook semalam, Tunku Ismail menyebut tentang “individu berumur 93 tahun ingin menjadi perdana menteri”, yang jelas merujuk kepada Mahathir.

Tunku Ismail juga menggesa penduduk Johor agar tidak terpedaya dengan individu “lidah bercabang”.

Dalam kenyataan itu, Tunku Ismail juga bertitah bahawa kapal yang berjalan dengan baik selama puluhan tahun tidak perlu ditukar enjinnya hanya kerana memiliki nakhoda yang bermasalah.

“Duduk di dalam kapal yang sama, dan membimbing nakhoda tersebut dan beritahu ke mana kita mahu pergi,” katanya merujuk kepada keadaan politik negara.

Kenyataan itu disambut komen orang ramai yang tidak bersetuju dengan Tunku Ismail.

Perkara itu dibangkitkan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang berkata kepercayaan dan sokongan orang Johor terhadap istana tidak semestinya akan membuatkan mereka juga menyokong BN.

Ketika ditanya pemberita dalam satu acara di Ampang hari ini, beliau juga membangkitkan perkara sama.

“Anda lihat komen di Instagram, Youtube. Itulah komen rakyat.

“Saya pun rakyat juga, tapi saya tak nak komen,” katanya lagi.

Tunku Ismail semalam turut mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, apabila guru menggunakan nama Mahathir untuk menegur kerabat diraja.

“Saya tidak lupa pada 1992, ketika kecil dan nakal di sekolah, cikgu akan bercakap pada saya, ‘Awak jangan main-main, awak tu kerabat diraja. Jika saya mengadu kepada Mahathir, habis awak’,” katanya.

Pada awal 1990-an, Mahathir sebagai perdana menteri meminda perlembagaan bagi menarik semula kekebalan Raja-raja Melayu.

VIDEO:

sumber: malaysiakini.

Leave a Reply